Monday, January 3, 2011

Hari pertama 2011

3 Januari 2011 , Isnin, hari pertama persekolahan bagi tahun ini. untuk hari pertama ini Alhamdulillah berjalan lancar. Untuk Minggu pertama dan kedua adalah minggu orientasi. Minggu orientasi  untuk penyesuain diri murid dengan keadaan baru, keadaan persekolahan. Untuk tahun ini seramai 7 orang murid yang ditawarkan masuk ke pra Integrasi. Di mana 4 orang adalah murid yang berumur lima tahun pada tahun 2010. Ini bermakna hanya 3 orang murid baru pada tahun ini. Walaupun sebenarnya ramai yang datang untuk membuat ujian untuk masuk ke prasekolah integrasi selepas itu. Apakan daya tempat adalah terhad. Ibubapa diberi pilihan untuk ke pusat Dalam Komuniti dan juga pusat latihan swasta/NGO. Hanya ada sebuah prasekolah Integrasi sahaja untuk daerah ini dan sekitarnya. saya tiada pilihan kalian sebaliknya tuan/puan punya pilihan.

Berbalik kepada cerita di hari pertama, berjalan dengan baik. Karenah anak2 tidak membingungkan. Ini mungkin kerana majoriti sudah terlatih pada tahun lalu. yang bakinya 3 org itu sahaja perlu diambil perhatian.

3 orang autisma - masalah pertuturan, tumpuan dan respon kurang. cabaran. 

Monday, April 19, 2010

Pakar Kanak-kanak: Lewat bercakap


“ANAK saya berusia dua tahun tetapi masih belum bercakap. Bukan tidak boleh atau tidak faham percakapan orang tetapi apabila ditanya, dia hanya menjawab sepatah dua.
“ANAK saya berusia dua tahun tetapi masih belum bercakap. Bukan tidak boleh atau tidak faham percakapan orang tetapi apabila ditanya, dia hanya menjawab sepatah dua.

“Namun apabila sepupunya yang tua setahun daripadanya datang ke rumah, banyak juga perkataan keluar daripada mulutnya,” keluh seorang ibu bercerita mengenai anaknya.

Sebenarnya ada ramai kanak-kanak yang boleh dikategorikan sebagai lewat bercakap. Dianggarkan lima hingga 10 peratus kanak-kanak mengalami gangguan perkembangan yang menyebabkan proses penguasaan bahasa dan percakapan menjadi lambat.

Ibu bapa perlu tahu, perkembangan bahasa tidak hanya merujuk kepada percakapan tetapi juga bentuk komunikasi lain seperti bahasa isyarat, tulisan dan kemahiran visual.

Lewat bercakap boleh disebabkan beberapa masalah dengan:

  •  Kebolehan bercakap (ada masalah pada korda suara dan lidah)

  •  Kemasukan percakapan (masalah pendengaran)

  •  Pemprosesan percakapan (masalah pada otak atau gangguan perkembangan pertuturan)

    Dua jenis masalah lambat bercakap ialah kelewatan ekspresif (kesusahan menggunakan percakapan untuk meminta atau berinteraksi) atau kelewatan reseptif (sukar menafsir atau memahami percakapan orang). Ada juga kanak-kanak yang mengalami gabungan kedua-dua keadaan di atas.

    Kebanyakan kanak-kanak yang lewat bercakap juga mengalami gangguan perkembangan bahasa (DLD) dengan kelewatan ekspresif tetapi perkembangan kemahiran bahasa visual (mengenali ibu bapa dan objek, bertindak balas terhadap ekspresi muka, mematuhi arahan yang disertakan gerak badan atau tangan yang memberitahu anda mahukan sesuatu atau menuding jari ke arah objek diinginkan) yang normal seperti kanak-kanak lain.

    Kanak-kanak ini juga menunjukkan kefahaman normal terhadap percakapan orang lain, kemahiran mendengar (mengenal dan menoleh ke arah bunyi), mematuhi arahan mudah tanpa perlukan ditunjuk dengan perbuatan oleh orang yang memberi arahan, boleh tunjuk anggota badan atau objek yang disebut walaupun sesetengahnya turut mengalami sedikit kelewatan reseptif.

    Namun jika diberikan rawatan awal (terapi pertuturan), kebanyakan kanak-kanak boleh bertutur dengan baik apabila masuk sekolah.

    Sesetengah kanak-kanak yang menunjukkan tanda kelewatan ekspresif hanya lambat bercakap dan kelewatan tersusun iaitu perkembangan pertuturan berlaku secara berperingkat.

    Perkembangan pertuturan dan penguasaan bahasa kanak-kanak ini akan menjadi normal dengan peningkatan umur tanpa sebarang rawatan.

    Malangnya sehingga kini tiada kaedah membezakan atau menentukan sama ada seseorang kanak-kanak mengalami kelewatan tersusun yang boleh bertutur dengan peningkatan umur dengan kanak-kanak yang memerlukan terapi.

    Masalah pendengaran juga boleh menyebabkan kanak-kanak lewat bercakap. Justeru, kanak-kanak yang disyaki mengalami masalah ini perlu dibawa menjalani ujian pendengaran.

    Jangan anggap mereka boleh mendengar hanya kerana kanak-kanak ini menunjukkan tindak balas kepada bunyi tepukan yang kuat, loceng atau datang apabila dipanggil dari bilik sebelah.

    Punca lain kelewatan bercakap termasuk masalah membabitkan otak seperti terencat akal dan autisme. Selain kelewatan ekspresif dan reseptif, perkembangan kemahiran bahasa visual (mengenali objek, bertindak balas terhadap mimik muka, mematuhi arahan dengan ditunjukkan pergerakan tangan) juga lambat.

    Bagaimanapun, keadaan ‘berat mulut’, malas bercakap atau mempunyai ramai adik beradik yang lebih banyak bercakap atau dibesarkan dalam keluarga bertutur dua bahasa tidak menyebabkan masalah kelewatan bercakap.

    Senarai di bawah adalah sebagai panduan terhadap perkembangan percakapan kanak-kanak. Kanak-kanak yang menunjukkan pencapaian 75 peratus, perkembangan pertuturan mereka boleh berlaku secara normal. Namun ini hanya panduan, dapatkan nasihat pakar kanak-kanak jika anak anda tidak menunjukkan perkembangan seperti disenaraikan. Kelewatan bercakap jika disebabkan kurang pendengaran perlu dikenal pasti seawal mungkin.



    Perkembangan percakapan

  •  Bayi baru lahir — Boleh mendengar dan membezakan sama ada bunyi datang dari kiri atau kanan. Mereka akan menggerakkan kepala ke arah sumber bunyi. Bayi anda juga sepatutnya boleh memberi tindak balas kepada bunyi perlahan. Bayi mula senyum dan menunjukkan gerak balas kepada seseorang pada umur sebulan dan mengenali suara ibu bapa pada umur satu hingga 2½ bulan

  •  Tiga hingga enam bulan — Bayi boleh meniru bunyi percakapan

  •  Empat hingga lapan bulan — Bayi menyebut satu suku kata (contoh ba, da, ga, gu)

  •  Lima hingga sembilan bulan — Bayi menyebut beberapa suku kata berulang-ulang (contoh bababa, lalala)

  •  Enam hingga 10 bulan — Bayi mula menyebut perkataan mudah yang kerap didengar (emak, ayah, tak)

  •  Lima hingga 10 bulan — Kebanyakan bayi boleh menyebut mama, dada — yang tidak hanya merujuk kepada ibu dan ayahnya

  •  Enam hingga sembilan bulan — Kebanyakan bayi boleh mengikut atau mematuhi arahan pendek yang disertakan dengan pergerakan badan atau tangan. Contohnya meminta dia memegang objek atau tangan anda. Dalam lingkungan umur tujuh hingga 11 bulan, bayi sepatutnya boleh mematuhi arahan ringkas tanpa perlu ditunjuk dengan tangan

  •  Tujuh hingga 12 bulan — Sudah pandai menggunakan perkataan mama, emak atau ayah dengan betul

  •  Sembilan hingga 14 bulan — Biasanya sudah boleh menyebut satu patah perkataan (selain emak, ayah)

  •  10 hingga 15 bulan — Sepatutnya bayi boleh menunjuk ke arah objek yang dikehendakinya

  •  11 hingga 20 bulan — Anak anda seharusnya boleh menyebut empat hingga enam perkataan (selain emak, ayah atau nama adik beradik)

  •  14 hingga 21 bulan — Si kecil boleh mematuhi arahan dua langkah tanpa bantuan pergerakan tangan (contoh ‘Duduk di sini dan makan’). Pada umur 14 hingga 18 bulan, dia seharusnya boleh menunjukkan dua atau lebih anggota badan dan meningkat kepada enam anggota badan pada umur 22 bulan

  •  16 hingga 20 bulan — Kanak-kanak boleh menyuarakan kehendaknya dalam satu perkataan (jus, susu, lagi, banyak)

  •  18 hingga 22 bulan — Si kecil sudah boleh menggabungkan dua perkataan atau ayat mudah seperti ‘hendak susu’ atau ‘mahu lagi’

  •  16 hingga 24 bulan — Kanak-kanak seharusnya sudah boleh menguasai lebih 50 patah perkataan

  •  19 hingga 26 bulan — Menggunakan perkataan saya, awak walaupun kadangkala terbalik. Kebanyakan kanak-kanak boleh menyebut perkataan dengan baik apabila berumur 30 bulan

  •  24 bulan — Percakapannya boleh difahami separuh oleh orang lain atau individu yang jarang berjumpa kanak-kanak berkenaan

  •  24 hingga 32 bulan — Boleh menamakan empat gambar

  •  26 hingga 32 bulan — Boleh bercakap dalam dua hingga tiga ayat mudah

  •  27 hingga 34 bulan — Boleh memahami dua arahan dalam satu ayat contohnya ‘Letak cawan di atas meja atau sebelah buku’

  •  29 hingga 34 bulan — Boleh menamakan dan kegunaan sekurang-kurangnya dua objek. Kanak-kanak seharusnya boleh mengenali satu warna pada umur 2½ hingga 3¼ tahun dan empat warna pada umur tiga hingga 4½ tahun

  •  Tiga tahun — Hampir 75 peratus pertuturannya boleh difahami orang yang jarang bertemu kanak-kanak ini. Pada umur ini mereka boleh menguasai lebih 250 perkataan. Pada umur empat tahun, percakapannya seharusnya boleh difahami sepenuhnya dan mampu menguasai 600 perkataan

    Saringan pendengaran boleh dilakukan pakar kanak-kanak melalui satu ujian mudah (audimetri) apabila mereka boleh memberi kerjasama (biasanya selepas umur empat tahun). Kanak-kanak (dari dilahirkan hingga empat tahun) perlu berjumpa pakar pendengaran untuk ujian selanjutnya.

    Jika anda fikir anak anda lewat bercakap, bawa si kecil untuk jalani ujian pendengaran. Pada masa sama kanak-kanak yang ada masalah lewat bercakap juga perlu dirujuk kepada pakar terapi pertuturan atau pakar psikologi jika perlu secepat mungkin.

    Pada masa sama ibu bapa juga boleh membantu meningkatkan percakapan anak dengan:

  •  Membaca buku kepada anak, terutama buku bergambar di mana anda boleh mengajaknya untuk menunjuk atau menamakan objek

  •  Gunakan bahasa mudah apabila bercakap dengan anak, dibantu dengan gerak badan atau tangan. Tanya banyak soalan kepada anak. Pastikan anda ‘bercakap’ dengan si kecil dan bukan memberi arahan

  •  Beri tindak balas segera apabila anak bercakap untuk memberi dorongan kepadanya

  •  Ulang perkataan atau ayat anak anda dengan menambah beberapa perkataan lagi bagi memanjangkan ayat berkenaan

  •  Sabar melayan anak dan jangan marah jika dia melakukan kesilapan. Beri masa untuk anak menghabiskan ayatnya

  •  Jangan paksa anak bercakap.
  • Monday, November 30, 2009

    Keganasan kartun lebih teruk, mudah ditiru kanak-kanak

    Keganasan kartun lebih teruk, mudah ditiru kanak-kanak
    Oleh Azrul Affandi Sobry
    -Sumber Gambar- Klik sini!

    Ibu bapa kena bijak rancang aktiviti berfaedah untuk anak isi masa lapang daripada dibiar terlalu banyak tonton televisyen "GAIA, Gaia, Gaia!" - Itulah ayat pertama yang terlontar daripada mulut anak kecil penulis yang baru berusia setahun lebih sejurus bangun tidur, menandakan dia mahu televisyen di bilik dipasang filem Ultraman segera. Jika lambat memenuhi kehendaknya, meraunglah jawabnya. Kuat sungguh pengaruh Ultraman kepadanya sehinggakan ketika dia baru mula pandai bertutur sepatah dua perkataan, nama beberapa watak dalam filem itu sudah boleh disebut dengan lancar selain sekadar boleh memanggil 'mummy, daddy, atuk, nenek, opah dan abang'. Malah, antara reaksi paling kerap dilakukannya setiap kali menonton filem itu sama ada di televisyen atau laman web youtube ialah menyilang tangan sambil menjerit 'ciah,ciah' iaitu satu daripada adegan ditiru daripada babak pertarungan Ultraman menentang raksasa.
    Bagi kebanyakan orang, tingkah laku itu menggelikan hati walaupun ada ketikanya dia terlebih kasar sehingga menumbuk abangnya sendiri ketika melihat aksi di filem itu dan kerap juga bertindak melebihi batasan dengan menumbuk dinding serta menyepak apa saja yang ada di depannya. Namun, jika diamati secara mendalam, tingkah itu sebenarnya merisaukan kerana dia kini tidak lagi suka menonton filem lain dan saban masa meminta filem Ultraman ditayangkan tak kira di mana saja berada sama ada di rumah atau ketika di dalam kereta yang turut dilengkapi televisyen kecil di alat penghadang cahaya. Kronik juga melihat tingkah laku dia dan abangnya, bagaikan sudah kemaruk dan ketagih dengan aksi Ultraman sekali gus mendatangkan kerisauan sama ada ia bakal mempengaruhi minda kanak-kanak sekecil itu sehingga mampu menjejaskan disiplinnya ketika remaja nanti.

    Mungkin bagi semua orang, ia perkara biasa kerana kanak-kanak memang sukakan aksi sebegitu tetapi memikirkan kanak-kanak adalah golongan yang suka meniru apa yang dilihat, apatah lagi ditonton setiap hari, mana tahu ia juga boleh mempengaruhi pembentukan sahsiah dan emosinya pada masa akan datang. Ibu bapa pula, mungkin suka memilih jalan mudah melekakan anak supaya tidak mengganggu mereka dengan menyediakan rutin harian, menayangkan filem sedemikian sehingga ia terus menusuk ke jiwa anak kecil itu untuk terus meminati dan mempraktikkan apa yang ditonton.
    Terbaru, Kementerian Pelajaran pula menyatakan kerisauan lantaran mereka sudah mengenal pasti pengaruh filem menerusi wayang dan permainan video menjadi antara penyumbang kepada peningkatan masalah disiplin murid sekolah rendah sepanjang Januari hingga Jun tahun ini. Timbalan Menterinya, Datuk Dr Wee Ka Siong, berkata pelajar seawal usia muda itu semakin terdedah kepada keganasan menerusi kedua-dua media berkenaan yang mendorong mereka melakukan kesalahan disiplin di sekolah.

    Beliau mengambil contoh filem Terminator sebagai salah satu filem aksi ganas yang memaparkan banyak aksi pergaduhan yang katanya boleh mempengaruhi kanak-kanak tanpa sedar. Realitinya, tak payah mengambil contoh filem berat sebegitu kerana berapa kerat sangat kanak-kanak yang dibawa ke panggung wayang menonton filem seumpamanya dan tak ramai pula ibu bapa yang ada masa untuk melayan kemahuan anak menonton wayang. Tak payah juga terlalu kritikal mengambil contoh drama bersiri berunsur ganas seperti CSI dan pelbagai lagi di televisyen kerana tidak semua kanak-kanak gemar menonton drama yang kurang mempunyai elemen khayalan sebegitu.
    Mungkin ramai tidak sedar atau sengaja buat tak perasan bahawa banyak sangat rancangan kartun di televisyen memaparkan aksi ganas dalam bentuk lebih kejam dan lebih cepat menular dalam jiwa kanak-kanak. Ultraman, Ben 10, Dragon Ball, Naruto dan Samurai adalah antara rancangan televisyen kegemaran kanak-kanak yang boleh dikatakan setiap hari disiarkan, malah antara rancangan paling popular dalam saluran 'Cartoon Networks' di Astro. Pakar motivasi kekeluargaan, Dr Rubiah K Hamzah, berkata rancangan kartun yang menyelitkan unsur pergaduhan sebenarnya lebih ganas dan tidak ada had kerana semua kelakuan dan aksi yang berlaku akan dilebih-lebihkan untuk menonjolkan sesuatu yang di luar kebiasaan. Beliau berkata, ramai ibu bapa tak sedar bahawa kanak-kanak pada peringkat usia dua hingga 10 tahun sedang dalam proses mempelajari dan meniru apa yang mereka lihat dan menyimpannya sebagai memori yang akan dilepaskan apabila usianya memasuki 12 tahun.
    "Kerana itulah kebanyakan kanak-kanak akan menunjukkan sikap tidak baik ketika memasuki usia 12 tahun kerana ia adalah tempoh mereka melepaskan apa yang dipendam sejak kecil hasil pembelajaran secara tak langsung daripada apa yang dilihat.
    "Ketika kecil, apa saja yang dipertontonkan tak kira bahan itu ringan atau berat akan mempengaruhi minda dan emosi mereka. Bagi ibu bapa, kartun mungkin satu elemen hiburan biasa, tetapi mereka tak sedar bahawa keganasan dalam kartun lebih teruk dan lebih mudah ditiru kanak-kanak.
    "Dalam kartun, pergaduhan digambarkan secara berlebihan. Potong tangan, kepala, teruk dipukul pun boleh bangun melawan semula. Kanak-kanak hanya faham apa yang dilihat. Mereka akan beranggapan, sakit macam mana sekalipun masih boleh bangun. Mereka akan praktikkan semua itu," katanya.
    Justeru, katanya, ibu bapa yang bertanggungjawab menyebabkan anak meniru apa yang ditonton dan secara tak langsung melatih anak menjadi ganas dengan kerap membenarkan mereka menonton rancangan sebegitu. Katanya, kesan rancangan kartun itu boleh dilihat secara jelas apabila kanak-kanak itu suka menendang barang dan berlagak seperti hero dalam rancangan yang ditonton.
    "Ibu bapa selalu berfikiran mudah. Bagi mereka itu sekadar kartun tetapi bagi kanak-kanak, ia realiti. Benar-benar berlaku. Lebih teruk lagi, selalunya televisyen kerap memaparkan sedutan aksi paling ganas dalam sesebuah rancangan sebagai promosi dan sinopsis itu akan lebih mudah melekat dalam minda kanak-kanak.
    "Silapnya ialah kerana sejak kecil kanak-kanak sudah didedahkan dengan semua itu menyebabkan mereka tak mahu lagi terima rancangan lain sedangkan banyak lagi rancangan kartun yang berfaedah dan banyak nilai positif," katanya lagi. Justeru, katanya, bagi mengimbangi jiwa kanak-kanak dan supaya mereka tidak terus dipengaruhi dengan semua keganasan dalam rancangan kartun, ibu bapa sewajarnya memenuhi masa terluang dalam hidup anak masing-masing dengan aktiviti yang boleh melekakan mereka dalam bentuk lebih positif. Sebagai contoh, katanya, ibu bapa boleh menyediakan banyak aktiviti seperti mainan yang boleh mengasah minda, permainan untuk meningkatkan kemahiran psikomotor dan pelbagai lagi.
    "Jangan sibuk memikirkan apa anak nak makan hari ini. Ibu bapa juga perlu sibuk fikirkan apa yang anak nak buat hari ini. Jangan benarkan masa lapang mereka sekadar dipenuhkan dengan menonton kartun. Beri mereka buat aktiviti yang lebih berfaedah tetapi menarik minat mereka.
    "Nak dikatakan selama ini ibu bapa silap, tak juga tetapi mereka sebenarnya tak ada perancangan atau salah mengatur hidup anak-anak. Mereka tak pandai memikirkan alternatif terbaik mengisi masa anak mereka. Itu mungkin kelemahan ketara ramai ibu bapa," katanya. Justeru, bagi mengelakkan kanak-kanak sekarang terus membesar dengan jiwa ganas dan merosakkan masa depan mereka, adalah sewajarnya ibu bapa buka mata dan bertindak sebagai pemantau serta menapis bahan yang ditonton anak mereka seterusnya menyediakan mereka dengan aktiviti lebih berfaedah. Jangan nanti, kerosakan hidup mereka adalah berpunca daripada kesilapan dan kealpaan kita sendiri.
    Sumber: Berita Harian Online

    Wednesday, October 14, 2009

    Jangan memihak ketika anak bergaduh

    Sebagai ibu bapa, anda harus bijak menangani situasi itu tanpa melukakan hati anak-anak anda
    Oleh Hafizah Iszahanid (hafiza@bharian.com.my)
    "MAK, tengok abang ni, main tolak-tolak,” atau anda akan kedengaran, “Abang dulu, abang dulu, tepi.. tepi.” Sebagai ibu bapa anda tentu sudah biasa mendengar ayat berkenaan. Pergaduhan antara adik beradik memang sebahagian daripada proses pembesaran mereka. Selalunya, pergaduhan atau bibit-bibit cemburu dimulakan oleh anak yang tua. Misalnya anak sulung yang cemburukan kelahiran adik atau anak tengah yang cemburu pada adik baru. Bagaimanapun, ada juga di kalangan kanak-kanak ini akhirnya mampu bersahabat baik dengan adik beradik sendiri dan saling mempercayai.
    “Letihlah tengok budak-budak ni, asyik bergaduh saja.” Anda juga biasa mendengar luahan seperti ini dari rakan anda. Mengapa kanak-kanak bergaduh? Sebenarnya banyak perkara boleh menyebabkan kanak-kanak bergaduh. Walaupun ada kalanya sebagai ibu bapa, kita merasakan ia perkara remeh temeh, namun bagi mereka itu adalah soal besar. Apatah lagi di kalangan si abang atau kakak, rasa cemburu atau ingin bersaing sentiasa ada dalam diri mereka. Namun, pergaduhan antara adik beradik adalah perkara universal dan normal. Malah, ramai yang berpendapat ia tanda keluarga yang sihat. Kehidupan orang dewasa atau kehidupan sebenar di dunia ini juga penuh pertelingkahan dan pertikaian.

    Pergaduhan adakalanya bermula di meja makan.
    Bagaimanapun, itu tidak bermaksud anda perlu membiarkan saja mereka bergaduh terutama apabila mungkin membabitkan kecederaan fizikal, caci mencaci atau penggunaan kata-kata kesat. Anda sebagai ibu bapa harus bijak menangani situasi itu tanpa melukakan hati kedua-dua anak anda. Mengapa mereka bergaduh?

    Seorang anak berasa tidak mendapat perhatian yang sama banyak dengan adik beradik lain. Atau mereka berasa dibebankan dengan banyak tanggungjawab berbanding adik beradik lain.
    Fasa pembesaran mereka juga mempengaruhi sikap mereka terhadap orang lain dan bagaimana mereka menerima hakikat perlu berkongsi perhatian dan kasih sayang ibu bapa dengan adik beradik lain.
    Ajar anak bertolak ansur, saling menghormati dan berkongsi barangan secara adil.
    Ada kala kanak-kanak yang lapar, bosan dan mungkin penat dengan persekitaran menyebabkan mereka suka memulakan pergaduhan.

    Mereka inginkan perhatian ibu bapa atau kakak atau abang. Bagaimana anda menangani pergaduhan anak-anak?

    Jangan memihak dan jangan terbabit kecuali jika pergaduhan itu boleh mendatangkan kecederaan fizikal. Sebabnya, jika anda kerap campur tangan mungkin menimbulkan pemahaman kepada mereka, ibu atau bapa akan sentiasa ada untuk membantu mereka. Jadi, mereka tidak upaya untuk berdikari menyelesaikan masalah sendiri. Apabila anda memihak pula, akan timbul kefahaman pada seorang lagi anak, dia sentiasa dilindungi dan sentiasa selamat kerana lebih disayangi.

    Hati-hati dengan anak yang suka mengadu. Mungkin dia betul dan mungkin juga tidak. Kadangkala mendengar sebelah pihak hanya menyelesaikan perkara itu sekejap saja sebelum mereka bergaduh semula. Kadangkala mereka juga sering menuduh adik beradik lain atas kesilapan yang dibuat.

    Jangan membuat perbandingan siapa yang lebih baik dan sebaliknya.
    Perhatikan masa dan hari atau pola yang memungkinkan pergaduhan boleh tercetus. Misalnya pertukaran jadual rutin harian.

    Luangkan masa berkualiti dengan anak-anak. Misalnya berkhemah atau melancong sekeluarga. Aktiviti begini akan lebih mengeratkan lagi hubungan mereka apabila mula berkongsi cerita.
    Jangan fokus keterlaluan anak mana yang patut disalahkan, sebaliknya selesaikan dengan baik membabitkan kedua-duanya. Misalnya saling bermaafan.

    Bantu anak anda membentuk kemahiran bagi mengatasi konfliknya sendiri. Misalnya ajar mereka bertolak ansur, saling menghormati dan mengagihkan makanan atau apa saja barangan yang perlu dikongsi secara adil.

    Apabila mereka bergaduh anda cuba meleraikannya, sebaiknya jangan tengking atau membebel. Nasihat dengan baik mengapa mereka tidak boleh bergaduh dan apa kesannya jika mereka bergaduh.

    Paling utama, jika anda kerap menengking atau menaikkan suara apabila bersama mereka, mulakan dengan mengurangkan atau menghapuskannya langsung. Tingkah laku anda mudah ditiru anak.

    Stimulasi otak kanak-kanak

    Info: Anatomi otak bayi.

    Oleh Hafizah Iszahanid ( hafiza@bharian.com.my )

    Rangsangan perlu dilakukan sejak dalam kandungan dengan pemilihan makanan yang diambil ibu.

    OTAK adalah organ pertama yang terbina ketika dalam kandungan. Apabila lahir, otak bayi mengandungi sel otak yang berbilion jumlahnya. Ia sentiasa bekerja dan belajar perkara baru. Proses sepanjang hayat ini dipengaruhi faktor luaran dan dalaman. Walaupun kanak-kanak lahir dengan jumlah sel otak yang banyak, namun banyak juga yang ‘hilang’ selepas dilahirkan. Apabila otak mempelajari sesuatu, sel otak berhubung dan menyimpan maklumat. Dalam tempoh yang lama, sel yang kosong akan terhapus bagi membenarkan sel yang menyimpan maklumat berkembang.

    Pembentukan penting dalam otak bayi yang sedang membesar bukan saja bergantung kepada faktor genetik tetapi juga pengalaman yang dilaluinya. Oleh itu, stimulasi otak kanak-kanak perlu dibuat sebanyak mungkin. Misalnya membina kemahiran berbahasa membabitkan membaca dan bercakap dengan kanak-kanak. Stimulasi itu sebenarnya sejak dalam kandungan, bermula dengan pemilihan makanan yang diambil ibu. Nutrisi yang ibu ambil ketika hamil memberi perbezaan besar dalam pembangunan otak. Oleh sebab itu wanita hamil memerlukan makanan berkhasiat. Kemudian, aktiviti stimulasi itu berubah mengikut tahap perkembangannya. Sebagai contoh, selepas dilahirkan, anda bercakap dengannya walaupun ketika itu bayi tidak boleh membalas kata-kata anda, tetapi otaknya sudah membuat hubungan penting yang mengaitkan perkataan dengan makna.

    Beri perhatian padanya, jangan biarkan bayi tertekan. Misalnya tercari-cari anda yang membuatkan bayi tertekan dan menangis. Tekanan hanya akan melambatkan pembangunan otak bayi. Luangkan masa untuk bercakap dengannya walaupun ketika itu bayi masih belum pandai berkata-kata. Buat bayi ketawa, tersenyum dan bercakap dalam pelbagai nada. Lakukan aktiviti bersama. Bacakan bayi buku dengan kuat dan dalam pelbagai nada. Mendengar ibu bapa membaca membantu pembentukan bahasanya. Membaca juga menanam minatnya pada buku. Begitu juga dengan sentuhan. Sentuhan pada bayi, memberi keselesaan padanya dan menghasilkan persekitaran positif untuk otak mempelajari perkara baru secara berterusan. Apabila anak semakin membesar, deria semakin terbentuk dan dia lebih peka dengan persekitarannya. Dia akan mula mahu bermain dengan objek atau berinteraksi dengan orang lain. Penyelidikan mendapati tahap daya intelek kanak-kanak dipengaruhi jumlah interaksinya dengan ibu bapa.
    Pada usia enam bulan ke atas, anak patut diberi peluang meningkatkan kemahiran koordinasinya. Apabila dia merangkak dan cuba berjalan, ia bukan saja membantu anak belajar koordinasi pergerakan kakinya malah menguatkannya. Pada peringkat ini, anda boleh memperbaiki kemahiran kognitif anak dengan memperkenalkan objek di hadapannya dan bercakap mengenainya. Berbual mengenai pengalaman lepas juga membantu membentuk memori. Lebih banyak pendedahan, lebih banyak pengalaman dipelajari. Misalnya membawa dia ke zoo dan taman permainan atau menghabiskan masa melukis, mewarna atau membuat kraf tangan. Bagaimanapun, stimulasi yang diberi tidak semestinya membuatkan anak anda menjadi bijak tetapi membantunya mempelajari banyak perkara baru dalam hidupnya.
    Selain stimulasi yang baik, sebenarnya otak juga terjejas pada stimulasi negatif. Menyaksikan ibu bapa bertengkar, ibu dipukul atau ditengking, drama bersiri atau filem yang penuh cerita pembunuhan atau peperangan malah permainan video yang ganas dan lucah juga memberi kesan pada otak. Dr Arlne F Harder menerusi Children Affirmation Program menjelaskan, semua yang negatif itu mencipta tekanan yang menyebabkan hormon steroid (cortisol) menekan sistem imun dan melambatkan pertumbuhan fizikal. Penghasilan cartisol dikaitkan dengan tekanan yang menukar aktiviti otak dan strukturnya. Bahagian yang paling terjejas adalah struktur otak hippocampus dan prefrontal cortex yang berfungsi pada keupayaan mengingati dan belajar selain keupayaan kanak-kanak untuk menterjemah secara tepat dan bertindak balas pada situasi sosialnya.
    Justeru, jika anda inginkan otak yang sihat untuk anak, minimumkan pendedahan unsur negatif pada anak. Bertengkar dan saling menengking di hadapan anak-anak akan mencipta pemahaman negatif kepada mereka.
    Pemilihan buah-buahan dalam diet makanan penting dalam pertumbuhan otak anak.
    Sumber : Berita Harian Online

    Tuesday, October 13, 2009

    Sindrom anak mengamuk

    Kanak-kanak lingkungan usia dua hingga tiga tahun cenderung untuk mudah marah kerana kehendaknya tidak difahami.

    Oleh Hafizah Iszahanid ( hafiza@bharian.com.my )


    'Temper tentrum' atau mudah marah
    dialami budak gagal berkomunikasi dengan baik
    PERNAHKAH anda menjadi perhatian di pusat beli belah gara-gara kerenah si kecil yang tiba-tiba mengamuk? Dia menangis tanpa henti, menghentak-hentak kaki sehinggakan orang yang lalu lalang tersenyum sinis pada anda. Salahkah kalau anda mencubitnya supaya dia diam? Atau menarik telinganya? Atau mungkin anda patut mendukungnya saja dan pulang terus ke rumah.
    Kemarahan secara tiba-tiba ini disebut ‘temper tantrum’ dan ia bukanlah kemestian pada setiap kanak-kanak. Namun, di kalangan sesetengah ibu bapa, sikap anak yang baran atau mudah marah memang memeningkan kepala. Lebih sukar lagi jika anak kecil ini tidak makan pujukan dan menangis lebih kuat apabila mereka tidak diendahkan.
    Pakar sebuah pusat perubatan Amerika Syarikat, Dr Jay Hoecker menyifatkan tantrum adalah satu proses tumbesaran yang normal. Ia juga bukan penyakit dan mulai hilang apabila usia kanak-kanak semakin meningkat. “Apatah lagi jika anda dan dia sudah boleh berbual dan berkongsi pendapat mengenai apa yang boleh dan tidak boleh.
    Sebenarnya, tantrum dilihat oleh kebanyakan pakar psikologi kanak-kanak sebagai luahan rasa kekecewaan seseorang kanak-kanak tidak kiralah sama ada ia dari sudut fizikal, mental atau emosi.

    “Kekecewaan itu ada kalanya kerana kesukaran anda sebagai ibu bapa memahami kehendaknya disebabkan penguasaan perbendaharaan kata yang sedikit,” katanya yang menulis di Mayoclinic.com.
    Tantrum dianggap normal kerana sebahagiannya berpunca daripada kegagalan anak kecil itu menguasai kemahiran asas. Misalnya, gagal membuka atau menutup butang baju. Ini disebabkan ada segelintir kanak-kanak memiliki kecenderungan untuk mudah marah berbanding kanak-kanak lain dan lazimnya faktor seperti letih, lapar atau tertekan menyebabkan mereka mengamuk.
    Apabila usianya semakin bertambah, dia akan belajar menangani emosi yang mencetus kemarahan. Dia juga selalunya sudah mampu menguasai pertuturan dengan baik serta semakin berdikari.
    Namun, dalam lingkungan usia dua hingga tiga tahun, anak kecil ini cenderung untuk mudah marah kerana kehendaknya tidak difahami. Membaling barang, menghentak-hentak kaki atau menjerit sekuat-kuat hati adalah cara meluahkan kekecewaan itu. Ada kala luahan kemarahan itu berlaku selama 20 saat atau mungkin hingga berjam-jam lamanya.
    Dr Hoecker berkata, kanak-kanak mula memperlihatkan kemarahan (tantrum) pada usia dua atau tiga tahun. Namun, ada juga kanak-kanak yang mula mempamerkan sikap tantrum pada usia yang lebih muda daripada itu. Apabila dia berusia empat atau lima tahun, dia masih mudah mudah tetapi apabila usia semakin meningkat, penguasaan bahasanya juga meningkat dan anda boleh mengajaknya berbual dan mudah bertolak ansur.
    Tantrum ialah tingkah laku untuk menarik perhatian. Justeru, satu cara untuk meminimumkan tantrum si kecil anda adalah dengan tidak mempedulikannya. Selalunya, dia akan menjerit lebih kuat dan menarik perhatian. Jadi, ambil peluang itu untuk berbincang tentang sikapnya. Apabila si kecil meradang, penting untuk anda bertenang dan mengawal kemarahan. Menjerit padanya atau memukul hanya akan memburukkan lagi keadaan.
    Selalunya, apa yang terbaik untuk anda dan si kecil yang mengamuk ialah suasana senyap tanpa anda mengalah dan tunduk padanya. Dia akan diam dengan sendiri apabila dia gagal menarik perhatian anda. Jadi perlukah anda menghukumnya sebagai balasan ‘mengamuk’? Logiknya tentulah tidak. Walau sebesar mana pun kemarahan anda kepadanya, cara terbaik ialah mengingatkannya sikap itu tidak betul.
    Justeru, mengelak kemarahan anak kecil itu adalah lebih baik. Mulakan dengan diri sendiri dengan memberi perhatian dan pujian padanya bagi membina keyakinan dirinya. Secara tidak langsung dia tahu anda menyayangi dan mengambil berat. Perhatikan juga tanda-tanda yang boleh menyebabkannya marah dan cuba alihkan perhatiannya. Beri sedikit kebebasan pada si kecil anda. Misalnya, jika memesan minuman tanya dia apakah air yang diinginkan, jus atau teh. Jika memintanya memberus gigi tanya padanya, hendak berus gigi sebelum atau selepas mandi? Beri perhatian kepada permintaannya dan jika tidak boleh ditunaikan beritahu sebabnya.
    Sebagai ibu bapa anda lebih memahaminya, jadi jangan bawa dia membeli belah pada waktu tidur semata-mata hendak mengejar jualan murah.
    Bagaimana jika dia tiba-tiba mengamuk walaupun anda sudah cuba sedaya upaya mengelak berlaku tantrum?
    1.Jangan marah, sebaliknya cuba bertenang dan senyum.
    2.Cuba fahami mengapa si kecil anda marah.
    3.Alih perhatiannya.
    4.Dakapnya, belai rambutnya dan tenangkan dia - mungkin kadang kala anak-anak akan terus menjerit, jadi tinggalkan dia sekejap. Jangan pedulikan dia dan lihat bagaimana reaksinya.
    Info:Tip tangani anak mengamuk
    Tiada cara atau kaedah mengelak anak mengamuk tetapi masalah ini boleh ditangani dengan menggalakkan sikap positif kepada anak.
    1. Konsisten - Adakan rutin harian yang tetap bagi memudahkan jangkaan anak seperti waktu tidur mengikut waktu ditetapkan.

    2. Buat perancangan awal - Jika perlu membeli-belah barangan keperluan, lakukan seawal mungkin iaitu pada waktu pagi ketika anak tidak lapar atau keletihan. Bawa sekali bekalan snek atau permainan untuk anak jika ada kemungkinan anda perlu beratur panjang.

    3. Kreatif - Galakkan anak anda bercakap. Jika dia masih belum boleh bertutur, gunakan kreativiti anda dengan mengajarnya bahasa isyarat ringkas dan mudah difahami bagi merujuk perkataan seperti 'Saya Mahu', 'Cukup', 'Sakit' dan 'Penat'. Lebih mudah komunikasi anda dan anak, lebih kurang anda berdepan masalah anak mengamuk.

    4. Buat pilihan - Benarkan anak kecil membuat pilihan bagi membolehkannya berasakan dia juga boleh memilih. Ini seperti menyuruhnya memilih antara baju warna putih atau biru, jenis buah-buahan yang diingininya atau mainan pilihan.

    5. Beri pujian - Pujilah anak anda jika dia berkelakuan baik seperti berkongsi mainan, patuh dan mendengar arahan.

    Sikap pemalu kanak-kanak normal

    Oleh Hafizah Iszahanid (hafiza@bharian.com.my)

    Jika terlalu malu mereka perlu dibantu kerana masalah itu boleh ganggu pembesaran dan pembelajaran mereka.

    ANAK kecil yang terlalu pemalu ada kalanya merunsingkan ibu bapa. Biasanya kanak-kanak ini tidak mahu berenggang jauh dengan ibu bapa dan sukar bergaul dengan rakan sebaya.

    Kanak-kanak yang pemalu memang normal, malah sikap pemalu itu boleh dikesan sejak kecil. Biasanya antara 15 hingga 20 peratus kanak-kanak bersikap sedemikian. Bagaimanapun, ia tidak akan mengganggu pembesaran dan pembelajaran mereka seandainya sikap malu itu tidak terlalu ekstrem.

    Jika sikap itu mengehadkan pembelajaran, peluang dan pengalaman hingga tidak mahu ke sekolah, anda perlu membantunya. Ia kerana kanak-kanak yang terlalu malu sukar mendapat kawan, tidak banyak bercakap dan tidak didengari di kalangan rakan sebaya. Kerap kali, kanak-kanak yang pemalu mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan situasi baru berbanding kanak-kanak lain.

    Namun, sebagai ibu bapa, pastikan anda membantunya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru dan berinteraksi dengan kawan-kawan baru. Perasaan malu adalah rasa tidak selesa dan takut dalam menghadapi situasi sosial. Selalunya, kanak-kanak begini tidak bertindak balas dengan perkara baru dalam hidup mereka misalnya makanan baru, tempat atau bertemu orang baru.

    Mereka hanya memerhati orang lain tetapi tidak mahu bercakap atau menyertai kumpulan kawan baru walaupun dijemput. Selalunya mereka lebih selesa ditemani ibu bapa walaupun pada usia pra sekolah. Malah, ada yang terpaksa ditemani ibu bapa hingga ke bilik darjah. Mereka tidak mahu kehadiran mereka disedari, tidak mahu menyertai sebarang aktiviti dan tidak mahu perhatian.

    Tidak jelas mengapa sesetengah kanak-kanak bersikap pemalu dan sesetengah tidak, tetapi selalunya ia dikaitkan dengan sikap ibu bapa sendiri yang mungkin pemalu atau mereka sering dibuli atau dikritik. Kadang kala sikap pemalu itu disebabkan perasaan takut pada persekitaran baru, misalnya memulakan hari pertama di sekolah atau menaiki bas sekolah buat pertama kali.

    Selain itu, kanak-kanak itu pemalu kerana rasa rendah diri yang keterlaluan. Ada kalanya, anak itu malu pada situasi baru dan kawan-kawan baru tetapi perlahan-lahan boleh menyertai mereka tidak lama selepas itu.

    Mungkin juga mereka tidak selesa dalam kumpulan yang besar tetapi selesa apabila bersama kumpulan kecil. Dia juga boleh memulakan persahabatan dengan orang lain tetapi sedikit sukar.

    Di kalangan kanak-kanak, rasa malu menjadi semakin tebal pada usia antara empat hingga lima tahun dan pada usia 12 tahun. Kadang kala kanak-kanak berasakan dia berbeza daripada orang lain (misalnya kulitnya hitam berbanding kawan-kawannya berkulit putih) menjadikannya malu atau tertekan.

    Rasa malu dan tertekan itu menjadikannya takut untuk mendekati orang lain, sukar memasukkan diri dalam kumpulan itu walaupun sering memerhatikan mereka. Sesetengah kanak-kanak lahir dengan rasa malu atau terlebih sensitif. Malah, bayi pun ada rasa malu. Mungkin anda menyedarinya, terutama apabila dia kerap menyorok mukanya bila bertemu orang lain atau malu bertemu orang lain. Bagaimanapun, sikap pemalu itu tidak bermakna mereka tidak normal. Ia tidak menjadi sebarang masalah hinggalah ia mengganggu pelajarannya. Misalnya tidak mahu ke sekolah, malu bergaul dengan rakan sebaya dan bercakap dengan guru.

    Cara membantu anak yang pemalu

    1. Jangan terlalu memaksa kanak-kanak untuk berdikari terlalu cepat tetapi jangan pula bersifat terlalu melindungi. Kadang kala terlalu melindungi menyebabkan anak anda kecewa, seolah-olah anda tidak percaya pada dirinya. Ia menyebabkan anak anda tidak berpeluang untuk belajar menangani rasa takut.

    2. Hormat sikap anak anda yang pemalu dengan mula bercakap mengenai perasaannya dan rasa takutnya. Jangan buli atau kritik kerana sikapnya itu.

    3. Jika bercadang mengadakan majlis hari jadinya, beritahu anak anda seawal mungkin dan apa yang akan terjadi pada hari berkenaan.

    4.Jangan masukkan anak anda dalam pertandingan atau suasana yang berbentuk pertandingan sebaliknya masukkannya dalam aktiviti berkumpulan seperti bermain bola sepak atau apa saja yang boleh membina rasa ‘sense of belonging’ dengan rakan sepasukan dan membina jati diri.

    5.Galak anak anda mencuba benda baru atau aktiviti baru, tetapi jangan paksa atau bertindak terlalu melindungi.

    6. Bantu anak anda membina jati dirinya. Kanak-kanak yang pemalu selalunya mempunyai jati diri negatif dan rasa terpinggir. Anda boleh membantunya membina jati diri dengan kerap memuji dirinya dan cari keistimewaannya, misalnya anak anda pandai melukis. Selain itu, beri sokongan dan pujian. Kanak-kanak yang rasa selesa dengan dirinya perlahan-lahan boleh mengendalikan rasa malu.


    Sumber: Berita Harian Online

    Selamat Hari Guru: Peningkatan Profesionalisma Guru Prasekolah Pendidikan Khas.

    PENAFIAN :  SEBARANG HATI YANG TERGURIS KERANA PERKONGSIAN INI MOHON JGN DISIMPAN DALAM HATI. PENULISAN INI ADALAH HASIL TUGASAN SAYA. ...