Wednesday, October 14, 2009

Jangan memihak ketika anak bergaduh

Sebagai ibu bapa, anda harus bijak menangani situasi itu tanpa melukakan hati anak-anak anda
Oleh Hafizah Iszahanid (hafiza@bharian.com.my)
"MAK, tengok abang ni, main tolak-tolak,” atau anda akan kedengaran, “Abang dulu, abang dulu, tepi.. tepi.” Sebagai ibu bapa anda tentu sudah biasa mendengar ayat berkenaan. Pergaduhan antara adik beradik memang sebahagian daripada proses pembesaran mereka. Selalunya, pergaduhan atau bibit-bibit cemburu dimulakan oleh anak yang tua. Misalnya anak sulung yang cemburukan kelahiran adik atau anak tengah yang cemburu pada adik baru. Bagaimanapun, ada juga di kalangan kanak-kanak ini akhirnya mampu bersahabat baik dengan adik beradik sendiri dan saling mempercayai.
“Letihlah tengok budak-budak ni, asyik bergaduh saja.” Anda juga biasa mendengar luahan seperti ini dari rakan anda. Mengapa kanak-kanak bergaduh? Sebenarnya banyak perkara boleh menyebabkan kanak-kanak bergaduh. Walaupun ada kalanya sebagai ibu bapa, kita merasakan ia perkara remeh temeh, namun bagi mereka itu adalah soal besar. Apatah lagi di kalangan si abang atau kakak, rasa cemburu atau ingin bersaing sentiasa ada dalam diri mereka. Namun, pergaduhan antara adik beradik adalah perkara universal dan normal. Malah, ramai yang berpendapat ia tanda keluarga yang sihat. Kehidupan orang dewasa atau kehidupan sebenar di dunia ini juga penuh pertelingkahan dan pertikaian.

Pergaduhan adakalanya bermula di meja makan.
Bagaimanapun, itu tidak bermaksud anda perlu membiarkan saja mereka bergaduh terutama apabila mungkin membabitkan kecederaan fizikal, caci mencaci atau penggunaan kata-kata kesat. Anda sebagai ibu bapa harus bijak menangani situasi itu tanpa melukakan hati kedua-dua anak anda. Mengapa mereka bergaduh?

Seorang anak berasa tidak mendapat perhatian yang sama banyak dengan adik beradik lain. Atau mereka berasa dibebankan dengan banyak tanggungjawab berbanding adik beradik lain.
Fasa pembesaran mereka juga mempengaruhi sikap mereka terhadap orang lain dan bagaimana mereka menerima hakikat perlu berkongsi perhatian dan kasih sayang ibu bapa dengan adik beradik lain.
Ajar anak bertolak ansur, saling menghormati dan berkongsi barangan secara adil.
Ada kala kanak-kanak yang lapar, bosan dan mungkin penat dengan persekitaran menyebabkan mereka suka memulakan pergaduhan.

Mereka inginkan perhatian ibu bapa atau kakak atau abang. Bagaimana anda menangani pergaduhan anak-anak?

Jangan memihak dan jangan terbabit kecuali jika pergaduhan itu boleh mendatangkan kecederaan fizikal. Sebabnya, jika anda kerap campur tangan mungkin menimbulkan pemahaman kepada mereka, ibu atau bapa akan sentiasa ada untuk membantu mereka. Jadi, mereka tidak upaya untuk berdikari menyelesaikan masalah sendiri. Apabila anda memihak pula, akan timbul kefahaman pada seorang lagi anak, dia sentiasa dilindungi dan sentiasa selamat kerana lebih disayangi.

Hati-hati dengan anak yang suka mengadu. Mungkin dia betul dan mungkin juga tidak. Kadangkala mendengar sebelah pihak hanya menyelesaikan perkara itu sekejap saja sebelum mereka bergaduh semula. Kadangkala mereka juga sering menuduh adik beradik lain atas kesilapan yang dibuat.

Jangan membuat perbandingan siapa yang lebih baik dan sebaliknya.
Perhatikan masa dan hari atau pola yang memungkinkan pergaduhan boleh tercetus. Misalnya pertukaran jadual rutin harian.

Luangkan masa berkualiti dengan anak-anak. Misalnya berkhemah atau melancong sekeluarga. Aktiviti begini akan lebih mengeratkan lagi hubungan mereka apabila mula berkongsi cerita.
Jangan fokus keterlaluan anak mana yang patut disalahkan, sebaliknya selesaikan dengan baik membabitkan kedua-duanya. Misalnya saling bermaafan.

Bantu anak anda membentuk kemahiran bagi mengatasi konfliknya sendiri. Misalnya ajar mereka bertolak ansur, saling menghormati dan mengagihkan makanan atau apa saja barangan yang perlu dikongsi secara adil.

Apabila mereka bergaduh anda cuba meleraikannya, sebaiknya jangan tengking atau membebel. Nasihat dengan baik mengapa mereka tidak boleh bergaduh dan apa kesannya jika mereka bergaduh.

Paling utama, jika anda kerap menengking atau menaikkan suara apabila bersama mereka, mulakan dengan mengurangkan atau menghapuskannya langsung. Tingkah laku anda mudah ditiru anak.

Stimulasi otak kanak-kanak

Info: Anatomi otak bayi.

Oleh Hafizah Iszahanid ( hafiza@bharian.com.my )

Rangsangan perlu dilakukan sejak dalam kandungan dengan pemilihan makanan yang diambil ibu.

OTAK adalah organ pertama yang terbina ketika dalam kandungan. Apabila lahir, otak bayi mengandungi sel otak yang berbilion jumlahnya. Ia sentiasa bekerja dan belajar perkara baru. Proses sepanjang hayat ini dipengaruhi faktor luaran dan dalaman. Walaupun kanak-kanak lahir dengan jumlah sel otak yang banyak, namun banyak juga yang ‘hilang’ selepas dilahirkan. Apabila otak mempelajari sesuatu, sel otak berhubung dan menyimpan maklumat. Dalam tempoh yang lama, sel yang kosong akan terhapus bagi membenarkan sel yang menyimpan maklumat berkembang.

Pembentukan penting dalam otak bayi yang sedang membesar bukan saja bergantung kepada faktor genetik tetapi juga pengalaman yang dilaluinya. Oleh itu, stimulasi otak kanak-kanak perlu dibuat sebanyak mungkin. Misalnya membina kemahiran berbahasa membabitkan membaca dan bercakap dengan kanak-kanak. Stimulasi itu sebenarnya sejak dalam kandungan, bermula dengan pemilihan makanan yang diambil ibu. Nutrisi yang ibu ambil ketika hamil memberi perbezaan besar dalam pembangunan otak. Oleh sebab itu wanita hamil memerlukan makanan berkhasiat. Kemudian, aktiviti stimulasi itu berubah mengikut tahap perkembangannya. Sebagai contoh, selepas dilahirkan, anda bercakap dengannya walaupun ketika itu bayi tidak boleh membalas kata-kata anda, tetapi otaknya sudah membuat hubungan penting yang mengaitkan perkataan dengan makna.

Beri perhatian padanya, jangan biarkan bayi tertekan. Misalnya tercari-cari anda yang membuatkan bayi tertekan dan menangis. Tekanan hanya akan melambatkan pembangunan otak bayi. Luangkan masa untuk bercakap dengannya walaupun ketika itu bayi masih belum pandai berkata-kata. Buat bayi ketawa, tersenyum dan bercakap dalam pelbagai nada. Lakukan aktiviti bersama. Bacakan bayi buku dengan kuat dan dalam pelbagai nada. Mendengar ibu bapa membaca membantu pembentukan bahasanya. Membaca juga menanam minatnya pada buku. Begitu juga dengan sentuhan. Sentuhan pada bayi, memberi keselesaan padanya dan menghasilkan persekitaran positif untuk otak mempelajari perkara baru secara berterusan. Apabila anak semakin membesar, deria semakin terbentuk dan dia lebih peka dengan persekitarannya. Dia akan mula mahu bermain dengan objek atau berinteraksi dengan orang lain. Penyelidikan mendapati tahap daya intelek kanak-kanak dipengaruhi jumlah interaksinya dengan ibu bapa.
Pada usia enam bulan ke atas, anak patut diberi peluang meningkatkan kemahiran koordinasinya. Apabila dia merangkak dan cuba berjalan, ia bukan saja membantu anak belajar koordinasi pergerakan kakinya malah menguatkannya. Pada peringkat ini, anda boleh memperbaiki kemahiran kognitif anak dengan memperkenalkan objek di hadapannya dan bercakap mengenainya. Berbual mengenai pengalaman lepas juga membantu membentuk memori. Lebih banyak pendedahan, lebih banyak pengalaman dipelajari. Misalnya membawa dia ke zoo dan taman permainan atau menghabiskan masa melukis, mewarna atau membuat kraf tangan. Bagaimanapun, stimulasi yang diberi tidak semestinya membuatkan anak anda menjadi bijak tetapi membantunya mempelajari banyak perkara baru dalam hidupnya.
Selain stimulasi yang baik, sebenarnya otak juga terjejas pada stimulasi negatif. Menyaksikan ibu bapa bertengkar, ibu dipukul atau ditengking, drama bersiri atau filem yang penuh cerita pembunuhan atau peperangan malah permainan video yang ganas dan lucah juga memberi kesan pada otak. Dr Arlne F Harder menerusi Children Affirmation Program menjelaskan, semua yang negatif itu mencipta tekanan yang menyebabkan hormon steroid (cortisol) menekan sistem imun dan melambatkan pertumbuhan fizikal. Penghasilan cartisol dikaitkan dengan tekanan yang menukar aktiviti otak dan strukturnya. Bahagian yang paling terjejas adalah struktur otak hippocampus dan prefrontal cortex yang berfungsi pada keupayaan mengingati dan belajar selain keupayaan kanak-kanak untuk menterjemah secara tepat dan bertindak balas pada situasi sosialnya.
Justeru, jika anda inginkan otak yang sihat untuk anak, minimumkan pendedahan unsur negatif pada anak. Bertengkar dan saling menengking di hadapan anak-anak akan mencipta pemahaman negatif kepada mereka.
Pemilihan buah-buahan dalam diet makanan penting dalam pertumbuhan otak anak.
Sumber : Berita Harian Online

Selamat Hari Guru: Peningkatan Profesionalisma Guru Prasekolah Pendidikan Khas.

PENAFIAN :  SEBARANG HATI YANG TERGURIS KERANA PERKONGSIAN INI MOHON JGN DISIMPAN DALAM HATI. PENULISAN INI ADALAH HASIL TUGASAN SAYA. ...