Tuesday, October 13, 2009

Sindrom anak mengamuk

Kanak-kanak lingkungan usia dua hingga tiga tahun cenderung untuk mudah marah kerana kehendaknya tidak difahami.

Oleh Hafizah Iszahanid ( hafiza@bharian.com.my )


'Temper tentrum' atau mudah marah
dialami budak gagal berkomunikasi dengan baik
PERNAHKAH anda menjadi perhatian di pusat beli belah gara-gara kerenah si kecil yang tiba-tiba mengamuk? Dia menangis tanpa henti, menghentak-hentak kaki sehinggakan orang yang lalu lalang tersenyum sinis pada anda. Salahkah kalau anda mencubitnya supaya dia diam? Atau menarik telinganya? Atau mungkin anda patut mendukungnya saja dan pulang terus ke rumah.
Kemarahan secara tiba-tiba ini disebut ‘temper tantrum’ dan ia bukanlah kemestian pada setiap kanak-kanak. Namun, di kalangan sesetengah ibu bapa, sikap anak yang baran atau mudah marah memang memeningkan kepala. Lebih sukar lagi jika anak kecil ini tidak makan pujukan dan menangis lebih kuat apabila mereka tidak diendahkan.
Pakar sebuah pusat perubatan Amerika Syarikat, Dr Jay Hoecker menyifatkan tantrum adalah satu proses tumbesaran yang normal. Ia juga bukan penyakit dan mulai hilang apabila usia kanak-kanak semakin meningkat. “Apatah lagi jika anda dan dia sudah boleh berbual dan berkongsi pendapat mengenai apa yang boleh dan tidak boleh.
Sebenarnya, tantrum dilihat oleh kebanyakan pakar psikologi kanak-kanak sebagai luahan rasa kekecewaan seseorang kanak-kanak tidak kiralah sama ada ia dari sudut fizikal, mental atau emosi.

“Kekecewaan itu ada kalanya kerana kesukaran anda sebagai ibu bapa memahami kehendaknya disebabkan penguasaan perbendaharaan kata yang sedikit,” katanya yang menulis di Mayoclinic.com.
Tantrum dianggap normal kerana sebahagiannya berpunca daripada kegagalan anak kecil itu menguasai kemahiran asas. Misalnya, gagal membuka atau menutup butang baju. Ini disebabkan ada segelintir kanak-kanak memiliki kecenderungan untuk mudah marah berbanding kanak-kanak lain dan lazimnya faktor seperti letih, lapar atau tertekan menyebabkan mereka mengamuk.
Apabila usianya semakin bertambah, dia akan belajar menangani emosi yang mencetus kemarahan. Dia juga selalunya sudah mampu menguasai pertuturan dengan baik serta semakin berdikari.
Namun, dalam lingkungan usia dua hingga tiga tahun, anak kecil ini cenderung untuk mudah marah kerana kehendaknya tidak difahami. Membaling barang, menghentak-hentak kaki atau menjerit sekuat-kuat hati adalah cara meluahkan kekecewaan itu. Ada kala luahan kemarahan itu berlaku selama 20 saat atau mungkin hingga berjam-jam lamanya.
Dr Hoecker berkata, kanak-kanak mula memperlihatkan kemarahan (tantrum) pada usia dua atau tiga tahun. Namun, ada juga kanak-kanak yang mula mempamerkan sikap tantrum pada usia yang lebih muda daripada itu. Apabila dia berusia empat atau lima tahun, dia masih mudah mudah tetapi apabila usia semakin meningkat, penguasaan bahasanya juga meningkat dan anda boleh mengajaknya berbual dan mudah bertolak ansur.
Tantrum ialah tingkah laku untuk menarik perhatian. Justeru, satu cara untuk meminimumkan tantrum si kecil anda adalah dengan tidak mempedulikannya. Selalunya, dia akan menjerit lebih kuat dan menarik perhatian. Jadi, ambil peluang itu untuk berbincang tentang sikapnya. Apabila si kecil meradang, penting untuk anda bertenang dan mengawal kemarahan. Menjerit padanya atau memukul hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Selalunya, apa yang terbaik untuk anda dan si kecil yang mengamuk ialah suasana senyap tanpa anda mengalah dan tunduk padanya. Dia akan diam dengan sendiri apabila dia gagal menarik perhatian anda. Jadi perlukah anda menghukumnya sebagai balasan ‘mengamuk’? Logiknya tentulah tidak. Walau sebesar mana pun kemarahan anda kepadanya, cara terbaik ialah mengingatkannya sikap itu tidak betul.
Justeru, mengelak kemarahan anak kecil itu adalah lebih baik. Mulakan dengan diri sendiri dengan memberi perhatian dan pujian padanya bagi membina keyakinan dirinya. Secara tidak langsung dia tahu anda menyayangi dan mengambil berat. Perhatikan juga tanda-tanda yang boleh menyebabkannya marah dan cuba alihkan perhatiannya. Beri sedikit kebebasan pada si kecil anda. Misalnya, jika memesan minuman tanya dia apakah air yang diinginkan, jus atau teh. Jika memintanya memberus gigi tanya padanya, hendak berus gigi sebelum atau selepas mandi? Beri perhatian kepada permintaannya dan jika tidak boleh ditunaikan beritahu sebabnya.
Sebagai ibu bapa anda lebih memahaminya, jadi jangan bawa dia membeli belah pada waktu tidur semata-mata hendak mengejar jualan murah.
Bagaimana jika dia tiba-tiba mengamuk walaupun anda sudah cuba sedaya upaya mengelak berlaku tantrum?
1.Jangan marah, sebaliknya cuba bertenang dan senyum.
2.Cuba fahami mengapa si kecil anda marah.
3.Alih perhatiannya.
4.Dakapnya, belai rambutnya dan tenangkan dia - mungkin kadang kala anak-anak akan terus menjerit, jadi tinggalkan dia sekejap. Jangan pedulikan dia dan lihat bagaimana reaksinya.
Info:Tip tangani anak mengamuk
Tiada cara atau kaedah mengelak anak mengamuk tetapi masalah ini boleh ditangani dengan menggalakkan sikap positif kepada anak.
1. Konsisten - Adakan rutin harian yang tetap bagi memudahkan jangkaan anak seperti waktu tidur mengikut waktu ditetapkan.

2. Buat perancangan awal - Jika perlu membeli-belah barangan keperluan, lakukan seawal mungkin iaitu pada waktu pagi ketika anak tidak lapar atau keletihan. Bawa sekali bekalan snek atau permainan untuk anak jika ada kemungkinan anda perlu beratur panjang.

3. Kreatif - Galakkan anak anda bercakap. Jika dia masih belum boleh bertutur, gunakan kreativiti anda dengan mengajarnya bahasa isyarat ringkas dan mudah difahami bagi merujuk perkataan seperti 'Saya Mahu', 'Cukup', 'Sakit' dan 'Penat'. Lebih mudah komunikasi anda dan anak, lebih kurang anda berdepan masalah anak mengamuk.

4. Buat pilihan - Benarkan anak kecil membuat pilihan bagi membolehkannya berasakan dia juga boleh memilih. Ini seperti menyuruhnya memilih antara baju warna putih atau biru, jenis buah-buahan yang diingininya atau mainan pilihan.

5. Beri pujian - Pujilah anak anda jika dia berkelakuan baik seperti berkongsi mainan, patuh dan mendengar arahan.

Sikap pemalu kanak-kanak normal

Oleh Hafizah Iszahanid (hafiza@bharian.com.my)

Jika terlalu malu mereka perlu dibantu kerana masalah itu boleh ganggu pembesaran dan pembelajaran mereka.

ANAK kecil yang terlalu pemalu ada kalanya merunsingkan ibu bapa. Biasanya kanak-kanak ini tidak mahu berenggang jauh dengan ibu bapa dan sukar bergaul dengan rakan sebaya.

Kanak-kanak yang pemalu memang normal, malah sikap pemalu itu boleh dikesan sejak kecil. Biasanya antara 15 hingga 20 peratus kanak-kanak bersikap sedemikian. Bagaimanapun, ia tidak akan mengganggu pembesaran dan pembelajaran mereka seandainya sikap malu itu tidak terlalu ekstrem.

Jika sikap itu mengehadkan pembelajaran, peluang dan pengalaman hingga tidak mahu ke sekolah, anda perlu membantunya. Ia kerana kanak-kanak yang terlalu malu sukar mendapat kawan, tidak banyak bercakap dan tidak didengari di kalangan rakan sebaya. Kerap kali, kanak-kanak yang pemalu mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan situasi baru berbanding kanak-kanak lain.

Namun, sebagai ibu bapa, pastikan anda membantunya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru dan berinteraksi dengan kawan-kawan baru. Perasaan malu adalah rasa tidak selesa dan takut dalam menghadapi situasi sosial. Selalunya, kanak-kanak begini tidak bertindak balas dengan perkara baru dalam hidup mereka misalnya makanan baru, tempat atau bertemu orang baru.

Mereka hanya memerhati orang lain tetapi tidak mahu bercakap atau menyertai kumpulan kawan baru walaupun dijemput. Selalunya mereka lebih selesa ditemani ibu bapa walaupun pada usia pra sekolah. Malah, ada yang terpaksa ditemani ibu bapa hingga ke bilik darjah. Mereka tidak mahu kehadiran mereka disedari, tidak mahu menyertai sebarang aktiviti dan tidak mahu perhatian.

Tidak jelas mengapa sesetengah kanak-kanak bersikap pemalu dan sesetengah tidak, tetapi selalunya ia dikaitkan dengan sikap ibu bapa sendiri yang mungkin pemalu atau mereka sering dibuli atau dikritik. Kadang kala sikap pemalu itu disebabkan perasaan takut pada persekitaran baru, misalnya memulakan hari pertama di sekolah atau menaiki bas sekolah buat pertama kali.

Selain itu, kanak-kanak itu pemalu kerana rasa rendah diri yang keterlaluan. Ada kalanya, anak itu malu pada situasi baru dan kawan-kawan baru tetapi perlahan-lahan boleh menyertai mereka tidak lama selepas itu.

Mungkin juga mereka tidak selesa dalam kumpulan yang besar tetapi selesa apabila bersama kumpulan kecil. Dia juga boleh memulakan persahabatan dengan orang lain tetapi sedikit sukar.

Di kalangan kanak-kanak, rasa malu menjadi semakin tebal pada usia antara empat hingga lima tahun dan pada usia 12 tahun. Kadang kala kanak-kanak berasakan dia berbeza daripada orang lain (misalnya kulitnya hitam berbanding kawan-kawannya berkulit putih) menjadikannya malu atau tertekan.

Rasa malu dan tertekan itu menjadikannya takut untuk mendekati orang lain, sukar memasukkan diri dalam kumpulan itu walaupun sering memerhatikan mereka. Sesetengah kanak-kanak lahir dengan rasa malu atau terlebih sensitif. Malah, bayi pun ada rasa malu. Mungkin anda menyedarinya, terutama apabila dia kerap menyorok mukanya bila bertemu orang lain atau malu bertemu orang lain. Bagaimanapun, sikap pemalu itu tidak bermakna mereka tidak normal. Ia tidak menjadi sebarang masalah hinggalah ia mengganggu pelajarannya. Misalnya tidak mahu ke sekolah, malu bergaul dengan rakan sebaya dan bercakap dengan guru.

Cara membantu anak yang pemalu

1. Jangan terlalu memaksa kanak-kanak untuk berdikari terlalu cepat tetapi jangan pula bersifat terlalu melindungi. Kadang kala terlalu melindungi menyebabkan anak anda kecewa, seolah-olah anda tidak percaya pada dirinya. Ia menyebabkan anak anda tidak berpeluang untuk belajar menangani rasa takut.

2. Hormat sikap anak anda yang pemalu dengan mula bercakap mengenai perasaannya dan rasa takutnya. Jangan buli atau kritik kerana sikapnya itu.

3. Jika bercadang mengadakan majlis hari jadinya, beritahu anak anda seawal mungkin dan apa yang akan terjadi pada hari berkenaan.

4.Jangan masukkan anak anda dalam pertandingan atau suasana yang berbentuk pertandingan sebaliknya masukkannya dalam aktiviti berkumpulan seperti bermain bola sepak atau apa saja yang boleh membina rasa ‘sense of belonging’ dengan rakan sepasukan dan membina jati diri.

5.Galak anak anda mencuba benda baru atau aktiviti baru, tetapi jangan paksa atau bertindak terlalu melindungi.

6. Bantu anak anda membina jati dirinya. Kanak-kanak yang pemalu selalunya mempunyai jati diri negatif dan rasa terpinggir. Anda boleh membantunya membina jati diri dengan kerap memuji dirinya dan cari keistimewaannya, misalnya anak anda pandai melukis. Selain itu, beri sokongan dan pujian. Kanak-kanak yang rasa selesa dengan dirinya perlahan-lahan boleh mengendalikan rasa malu.


Sumber: Berita Harian Online

Tiada ubat untuk sembuhkan disleksia

Oleh Hafizah Iszahanid (hafiza@bharian.com.my)


Hanya sokongan, usaha gigih dapat bantu anak dari segi pembelajaran.
APABILA anak anda masih gagal menulis namanya sendiri walaupun sudah berusia tujuh tahun, jangan cepat mengatakan dia bodoh atau lembam. Pernahkah anda terfikir bahawa anak anda mungkin berhadapan dengan masalah disleksia? Apatah lagi jika dia sukar memahami, mengingati atau mematuhi arahan dan tidak faham konsep masa seperti semalam, hari ini atau esok.

Disleksia adalah masalah kurang kemampuan dari segi pembelajaran menyebabkan mereka bermasalah untuk membaca, mengeja dan memahami. Ia bukan masalah intelektual kerana dari segi IQ mereka bijak tetapi ketidakupayaan membezakan huruf, nombor, menterjemahkan bunyi dan visual dalam penulisan menyebabkan mereka gagal untuk belajar.

Disleksia sebenarnya berpunca daripada perbezaan otak memproses bahasa penulisan dengan bahasa pertuturan. Dipercayai sistem neurologi yang tidak berfungsi dengan betul menyebabkan gangguan pada struktur otak.

Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin, berkata disleksia adalah disebabkan perbezaan otak memproses tulisan dan pertuturan.
Beliau berkata, tiada statistik mengenai disleksia di Malaysia namun dianggarkan antara empat hingga lapan peratus kanak-kanak pada usia persekolahan berhadapan dengan disleksia manakala kanak-kanak lelaki lebih cenderung berhadapan dengan masalah itu berbanding kanak-kanak perempuan.

"Kanak-kanak disleksia bukan kanak-kanak lembam atau bodoh, mereka cuma kurang kemampuan dari segi pembelajaran. Namun, itu tidak bermakna mereka akan gagal dalam hidup. Mereka masih boleh belajar dan diajar dengan formula tertentu," katanya.

Bagi membela nasib kanak-kanak disleksia, Persatuan Disleksia Malaysia memiliki tiga pusat pembelajaran khas untuk golongan ini. Bertempat di Ampang, Subang dan Titiwangsa, pusat ini melatih kanak-kanak selama tiga bulan atau paling lama enam bulan sebelum mereka kembali semula ke alam persekolahan.

"Disleksia adalah masalah seumur hidup. Ia bukanlah masalah jika mereka diberi peluang untuk belajar. Ada kanak-kanak disleksia yang berjaya hingga ke peringkat universiti," katanya.
Dari sudut perubatan, disleksia dikaitkan dengan faktor genetik, namun tahap masalah pembelajaran bagi setiap kanak-kanak itu tidak sama. Ada penyelidik percaya komplikasi ketika hamil atau ketika melahirkan bayi menyebabkan sedikit kerosakan pada otak. Umumnya, kanak-kanak ini berhadapan dengan kesukaran belajar membaca dan mengeja. Otak mereka juga kurang berupaya menterjemah imej yang diterima daripada mata atau bunyi yang didengar telinga kepada bahasa yang difahami apabila dituturkan.

Biasanya kanak-kanak disleksia boleh mengeja dengan betul tetapi kedudukan perkataan itu tunggang terbalik atau tertinggal huruf vokal. Misalnya perkataan tiap-tiap ditulis sebagai tipa-tipa. Apabila guru menyebut 13, kanak-kanak disleksia akan menulis 31. Jika guru meminta mereka mengeja perkataan diam mereka menulis d i y a m, kalau disebut di - am, barulah ditulis diam.

Sariah berkata, disleksia kerap dikesan pada umur persekolahan. Selalunya ibu bapa dan kanak-kanak itu sendiri kecewa kerana gagal belajar membaca dan menulis dengan baik sehingga membawa kepada masalah kemurungan dan rendah diri. Kegagalan itu menyebabkan mereka mula bermasalah bukan saja di sekolah tetapi di rumah. Apatah lagi jika ibu bapa atau guru tidak menyedari kanak-kanak terbabit sebenarnya berhadapan dengan disleksia.

Selain itu, ada kanak-kanak disleksia yang terjejas dari segi visual, misalnya gagal menulis huruf, nombor dan simbol dalam susunan yang betul. Dari segi pendengaran, mungkin ada yang sukar membezakan huruf atau kumpulan huruf manakala ada juga yang tidak boleh memegang atau mengawal pensil di genggaman menyebabkan mereka sukar menulis dengan betul.

Disleksia boleh terjadi pada peringkat yang sangat lemah (mild), sederhana atau teruk. Namun, perlu diketahui tiada ubat untuk menyembuhkan disleksia melainkan kesabaran dalam mengajar mereka, memberi mereka sokongan dan bantuan sedaya upaya.

Ciri-ciri kanak-kanak disleksia: Kanak-kanak pra sekolah
Lambat bercakap Sukar membunyikan perkataan atau rima
Bermasalah dalam menulis nama sendiri
Sukar mempelajari perbezaan bentuk atau warna
Kurang upaya bercerita semula mengenai sesuatu kejadian
Kanak-kanak yang bersekolah Gagal membuat kerja sekolah, membaca, menulis dan mengira Tidak suka membaca buku atau mengelak untuk membaca dengan kuat dalam kelas
Cenderung menulis terbalik, misalnya 15 menjadi 51, perkataan tiap-tiap menjadi tipa-tipa Kurang koordinasi misalnya sukar memakai tali kasut
Keliru dengan konsep masa, semalam, hari ini, esok Sukar memahami, mengingati atau mematuhi arahan Cenderung hilang peralatan sekolah.

Jenis disleksia:
Disleksia trauma - jarang ditemui dan selalunya terjadi kerana trauma pada bahagian otak yang mengawal keupayaan membaca dan menulis.

Disleksia permulaan - pesakit disleksia jenis ini sukar membaca, mengeja atau menulis. Diwarisi secara genetik dan lebih kerap ditemui pada kanak-kanak lelaki.

Disleksia sekunder - dipercayai berpunca pembentukan hormon ketika dalam kandungan.

Sumber: Berita Harian Online

Estim kendiri pengaruhi peribadi kanak-kanak

Oleh Hafizah Iszahanid (hafiza@bharian.com.my)


Persepsi individu mengenai nilai diri bergantung pada asuhan ibu bapa, latar belakang keluarga, pengalaman awal dalam kehidupan seharian "MAMA, saya rasa akan kalah, saya tak boleh buat." Bagaimana jika itu jawapan yang diberikan anak anda yang berusia empat tahun apabila anda memintanya menyertai pertandingan sukan. Jangan marah dan memaksa mereka. Anak anda sebenarnya mungkin berhadapan dengan masalah estim kendiri (self-esteem) yang negatif.

Estim kendiri adalah persepsi individu mengenai nilai dirinya pada pandangan orang lain sama ada keluarga atau rakan. Estim kendiri penting bagi kanak-kanak dalam proses pembentukan dirinya. Memiliki estim kendiri yang positif membantu kanak-kanak membesar menjadi seorang dewasa yang berjaya dalam hidup. Pensyarah Psikologi dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, berkata kanak-kanak melalui tiga peringkat kehidupan iaitu

1. Zaman awal kanak-kanak (0 hingga empat tahun),

2. Zaman tengah kanak-kanak (empat hingga lapan tahun)

3. Zaman akhir kanak-kanak (lapan hingga 11 tahun).

“Apabila kanak-kanak semakin membesar, rasa estim kendiri itu membuatkan mereka berasa perlu untuk mendapat gred yang baik dalam peperiksaan atau menyertai pasukan bola sepak sekolah atau apa saja perkara yang membuatkan mereka bangga,” katanya.


Bagaimanapun, pembentukan estim kendiri ini sebenarnya tidak sama bagi setiap kanak-kanak. Ia bergantung pada asuhan ibu bapa, latar belakang keluarga dan pengalaman awalnya dalam kehidupan seharian. Justeru, walaupun bukan semua, tidak dinafikan ada kanak-kanak yang ibu bapa bercerai atau tidak mendapat layanan dan kasih sayang yang adil daripada mereka, cenderung memiliki estim kendiri yang negatif. Malah, estim kendiri yang negatif juga boleh terjadi jika ibu bapa terlalu meletakkan sasaran tinggi dalam keputusan akademik, menjadi mangsa buli di sekolah atau guru yang terlalu cepat melabelkannya sebagai samseng, gangster atau nakal apabila dia membuat kacau di kelas. Dr Mariani berkata, keadaan ini lebih jelas pada kanak-kanak genius atau kanak-kanak yang dihantar ke sekolah seawal usia empat tahun.


“Kanak-kanak yang dihantar awal ke sekolah, baik dalam pembinaan estim kendiri selagi jadual pembelajarannya tidak terlalu tertumpu pada akademik. Kanak-kanak yang terikat dengan akademik sejak empat tahun akan cepat berasa jemu dan apabila masuk ke sekolah rendah mula mengganggu kawan lain kerana dia sudah tahu apa yang diajar guru.” “Apa yang diajar sama, mereka mula jemu dan mengganggu kawan. Guru pula cepat melabelkan mereka sebagai budak nakal atau samseng. Semua ini menjejaskan estim kendiri kanak-kanak itu,” katanya. Anak-anak dengan estim kendiri yang negatif jika tidak ditangani akan menjejaskan pembesarannya dari sudut emosi. Dia tidak akan berpuas hati dengan apa yang dimiliki, misalnya merasakan dia tidak cantik berbanding kawannya selain penuh dengan tanggapan negatif terhadap diri sendiri. “Kanak-kanak yang memiliki estim kendiri yang negatif sentiasa berfikiran negatif dan sukar menyelesaikan masalah. Dia selalu berfikir dia tidak cukup bagus, dia tidak mampu berbuat apa-apa, pasif, menyendiri dan murung. “Keadaan yang menjadi lebih buruk jika ibu atau bapa meletakkan label pada mereka. Misalnya, dia mengadu dia gagal peperiksaan, si ibu menambah ha, memang pun kau tu bodoh macam bapa kau,” katanya. Dr Mariani berkata, meletakkan label kepada anak-anak menyebabkan mereka yang memiliki estim kendiri yang negatif lebih bersikap negatif.

“Kanak-kanak memang nakal dan memarahi mereka sebahagian daripada proses pendidikan. Anak yang dapat menerima kemarahan dengan baik, mungkin merajuk sikit selepas itu dia boleh berbaik semula dengan ibu bapa dan menerima kesalahannya adalah anak yang memiliki estim kendiri yang positif,” katanya. Katanya, estim kendiri yang tinggi mempengaruhi pergaulan anak, misalnya dia aktif bersukan dan tidak takut bersaing dan penguasaan bahasanya tinggi berbanding anak yang memiliki estim kendiri yang negatif.

Pembinaan estim kendiri itu proses sepanjang hidup tetapi asas pembinaannya dibuat sejak kecil. Ia membantu kanak-kanak menguruskan isu-isu lain dalam kehidupan mereka. Peranan ibu bapa dalam membentuk estim kendiri anak.


Kanak-kanak dapat merasakan emosi di sebalik cara ibu bapa bercakap dengan mereka dan tingkah laku ibu bapa dengan mereka. Tunjuk dan beritahu anak anda menyayangi dan ambil berat mengenai mereka.


Memuji, memeluk mereka dan mengkritik dengan membina. Memuji juga dengan membina, misalnya, abang memang pandai tapi mama tahu kalau abang rajin baca buku abang akan jadi lagi pandai.


Jangan membezakan kasih sayang misalnya lebih menyayangi anak lelaki dan bersikap kasar dengan anak perempuan.


Jangan meletakkan label pada anak. Misalnya, kau ni lembap.

Ciri-ciri anak dengan estim kendiri positif
Mudah bergaul
Boleh mendengar pendapat orang lain
Boleh dipertanggungjawabkan
Tidak takut mencuba perkara baru

Ciri-ciri anak dengan estim kendiri negatif
Kenyataan dan jangkaan negatif
Tidak mahu mencuba benda baru
Rasa tidak disayangi
Menyalahkan orang lain atas kesilapannya
Tidak yakin dengan keupayaannya sendiri
Mudah dipengaruhi.



Sumber: Berita Harian Online

Selamat Hari Guru: Peningkatan Profesionalisma Guru Prasekolah Pendidikan Khas.

PENAFIAN :  SEBARANG HATI YANG TERGURIS KERANA PERKONGSIAN INI MOHON JGN DISIMPAN DALAM HATI. PENULISAN INI ADALAH HASIL TUGASAN SAYA. ...